|
Pusat Internet Desa
merupakan projek Kerajaan Malaysia di bawah Kementerian Tenaga, Air dan
Komunikasi yang bermisikan "MERAPATKAN JURANG DIGITAL" antara kawasan
luar bandar dan bandar.
Program seperti ini boleh
menyedarkan masyarakat desa tentang perlunya celik komputer dalam era
digital. Perkhidmatan internet yang disediakan akan mempastikan
masyarakat desa tidak ketinggalan dari segi akses kepada teknologi
komunikasi dan multimedia. Dengan itu, mereka dapat bersama
bergerak maju menyertai proses transformasi ke arah masyarakat
dan ekonomi berilmu. Kerajaan berazam memastikan tiada golongan
yang akan tertinggal atau terpinggir kerana itulah agenda
transformasi nasional abad ke 21
Pusat Internet Desa
Tanjong Malim (PIDTM) telah memulakan operasi pada 03 NOVEMBER 2003 yang
merupakan Pusat Internet Desa Fasa Ke-2 bersama dengan 39 PID yang lain
seluruh Malaysia. Terletak bersebelahan dengan Pejabat Pos Tanjong Malim
dan diseliakan oleh dua orang Penyelia daripada KTAK. Beroperasi dengan
sokongan 6 buah komputer peribadi, 3 buah pencetak, sebuah pengimbas dan
sebuah kamera digital. Matlamat utama penubuhan PID ini adalah untuk
memberi perkhidmatan dan latihan komputer kepada penduduk setempat.
Nadi penggerak utama program
ini adalah ahli-ahli jawatankuasa Pusat Internet Desa (PID) yang
dilantik dan dipertanggungjawabkan untuk mempromosi dan memperkenalkan
matlamat dan objektif PID kepada masyarakat setempat. Mereka dilatih
untuk menggunakan komputer dan melayari internet oleh pihak Kementerian
Tenaga, Komunikasi dan Multimedia (KTKM) sebagai langkah permulaan untuk
memperkenalkan era teknologi maklumat dengan menggunakan kemudahan ICT
yang disediakan kepada komuniti seterusnya memperkenalkan tempat mereka
kepada dunia melalui pembangunan laman web. Dengan ini matlamat program
PID untuk merapatkan jurang digital antara masyarakat bandar dan luar
bandar akan tercapai
AJK Pusat Internet Desa
adalah sukarelawan dari kalangan penduduk setempat yang secara sukarela
memberi khidmat mereka kepada PID. Tugasan utama mereka adalah untuk
mempromosikan PID dan membantu penyelia dalam penyelarasan PID. Selain
itu mereka juga akan memantau segala aktiviti di PID dan memberi khidmat
nasihat jika diperlukan. AJK juga bertanggungjawab dalam menjaga
kewangan PID dan mencari sumber kewangan untuk menanggung perbelanjaan
PID |